Saya kahwin agak lewat, ketika usia 33 tahun. Ya lah rupa pun tak ada, badan saiz XL, jadi apabila ada orang kenen-kenen dan berhajat, saya terima seadanya. Saya sendiri baharu dapat kerja tetap ketika itu.

Sebelumnya, kerja promoter sebuah syarikat telco. Walaupun tidak tetap, saya dapat hidup mewah kerana rajin buat jualan. Dek kejutan wang yang melimpah ruah, saya jadi lupa, kerap shopping dan sikap paling buruk apabila terlebih berbelanja dengan kad kredit.

Saya diisytihar muflis, terpaksa berhenti kerja - hidup menganggur sehinggalah dapat kerja baharu tersebut. Pendapatan taklah semewah kerja lama. Dengan gaji 'ciput' itu saya tamatkan zaman bujang.

Ketika dilamar saya sudah tahu bakal suami bukan orang senang dan berpelajaran. Dia hanya pemandu kontena sebuah syarikat pembekal besi. Dengan gajinya lebih kurang RM3,000 sebulan termasuk elaun, perkahwinan kami awalnya sangat bahagia, sehinggalah saya terpaksa berhenti kerja ibu saya sakit di kampung dan saya diharapkan oleh adik-beradik untuk jaga ibu, kononnya saya baru berkeluarga, belum ada tanggungan besar.

Saya ambil tanggungjawab tersebut dan tinggalkan suami di Kuala Lumpur, balik ke Perak jaga ibu, sekali-sekala suami balik atau saya yang turun ke Kuala Lumpur. Sejak itu jugalah saya bergantung pendapatan sepenuhnya daripada suami.

Pada awalnya semua berjalan lancar, suami beri duit setiap bulan, walaupun tak banyak - RM600, bagi saya itu sudah memadai dan memahami pekerjaan suami. Namun, makin lama kiriman berkurangan, malah ada ketika tertangguh.

Suami juga jarang balik. Lama-kelamaan, kiriman sudah tiada langsung. Saya cuba bertanya suami, dia beritahu syarikat ada masalah, tak ada barang nak dihantar, tak adalah duit. Saya mula bimbang keadaan ini dan cadangkan suami balik ke kampung, buat kerja-kerja kampung.

Suami setuju, dia berhenti kerja dan balik ke Perak. Namun sejak balik hingga sekarang, suami menganggur di rumah, bukan tak ada kerja kerana ibu saya ada kebun getah yang jika diusahakan boleh dapat hasil lebih kurang sama gaji memandu kontena. Saya sendiri sejak berhenti kerja ada buat bisnes kecil-kecilan jual nasi lemak.

Masalahnya suami mula tunjuk sikap malas kerja, dia beri alasan mahu rehat dulu. Sekarang saya seorang usahakan jualan nasi lemak, dia hanya makan tidur. Saya risau juga, apa kata adik-beradik yang lain, tapi suami buat tak faham.

Pernah saya nyatakan untuk berpisah jika dia tak mahu cari kerja, dia janji akan cari kerja sebab tak pandai buat kerja kampung. Sehingga sekarang saya masih menanti janji dia untuk cari kerja, saya nekad jika masih berlarutan, permintaan cerai kali kedua akan saya buat. - Masayu,35, Parit Buntar

0 comments :

Post a Comment

 
Top