Oleh:Nadia Mingguan Wanita



Saya seorang ibu tunggal dan mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu. Sudah lima tahun saya hidup sendirian. Ini kerana kisah rumah tangga saya amat menyedihkan. Mungkin biasa bagi orang lain tetapi saya yang mengalaminya sendiri terlalu sukar untuk menerimanya.


Bukan saya menolak takdir dan menerima hakikat yang hubungan suami isteri antara kami sudah tiada lagi tetapi apa yang saya kesalkan, selepas saya membuang segala-galanya termasuk mak ayah, akhirnya kerana wanita yang lebih berharta dia tinggalkan saya.


Saya berusia 25 tahun. Perkahwinan saya hanya sempat diraikan dalam tempoh kurang tiga tahun saja kerana suami sudah berlaku curang. Ternyata apa yang dia pernah lakukan kepada saya, itulah yang diulang lagi ketika mengenali wanita ini.


Semasa mengenalinya, suami begitu bersungguh-sungguh mahu berkahwin segera. Katanya sudah tidak sabar sehidup semati dengan saya hingga akhir hayat. Jujurnya, kerana asyik maksyuk dengan ungkapan cintanya, kami pernah terlanjur sekali tetapi nasib jugalah saya tidak mengandung ketika itu.


Keluarga saya melarang hubungan ini namun dia tetap bertegas mahukan saya dan mengajak saya kahwin lari. Katanya, dia boleh menanggung kehidupan saya kelak bahkan akan menjaga saya biarpun keluarga saya tidak menerimanya. Kami akhirnya bernikah di sempadan Siam kerana saya berfikir, cukuplah sekali sahaja saya melakukan dosa zina bersamanya. Saya tidak mahu keinginan meluapnya itu disalurkan dengan cara tidak halal.


Selepas nikah di sempadan, kami maklumkan kepada keluarga. Disebabkan menconteng arang ke muka saya dibuang keluarga dan bermulalah sepenuhnya kehidupan saya dengan hanya mengharapkan kasih suami.


Tidak saya nafikan, suami melayan saya dengan baik. Bagi membantu dia menambah pendapatan, saya bekerja sementara. Dapatlah menambah pendapatan sedia ada. Suami memang menunjukkan kasih sayangnya. Katanya, dia tiada apa kecuali saya sebagai cinta hatinya.


Memang hati saya berbunga riang kerana mendapat suami yang menyayangi saya sepenuh hati. Ketika itu dibuang keluarga saya juga tidak kisah kerana sudah ada dirinya. Enam bulan berkahwin, saya disahkan mengandung. Gembiranya hati ketika itu membuatkan saya merasakan kehidupan sudah lengkap sepenuhnya.


Syukur, genap sembilan bulan 10 hari, saya melahirkan anak lelaki. Suami nampak sikap penyayangnya dan hidup saya makin bahagia. Tapi nyata, apa yang saya impikan, mataharinya tidak bersinar dengan terang menyuluh kehidupan saya. Suami mula berubah. Paling utama, mudah marah.


Bila saya berbicara, tangannya naik ke tubuh. Wang belanja makin kurang dan kehidupan makin teruk. Saya pula sudah lama berhenti kerja kerana alahan semasa mengandung dahulu. Ketika inilah saya terkenangkan emak di kampung.



Saya mula menyesal tetapi segalanya mungkin sudah terlambat. Masalah kewangan mula membelenggu kehidupan saya. Lebih perit suami pula semakin lepas tangan. Bahkan mulutnya juga sama naik dengan tangan. Dia berkata, saya menyusahkan hidupnya. Air mata menjadi peneman saya setiap hari. Tubuh saya menjadi sasarannya hanya kerana saya bertanya ke mana dia pergi dan bila minta dibelikan susu untuk anak.


Memang saya sedih kerana kehidupan yang saya lalui ini. Hinggalah satu hari saya mendapat bukti yang suami curang melalui telefon bimbitnya yang tertinggal. Saya membuka telefonnya dan ternampak gambar suami bersama pasangan di atas katil dalam keadaan berbogel. Mengucap saya. Tergambar kenangan ketika kami bercinta dahulu.



Nyata suami memang tak pernah puas dengan satu yang halal. Dia sanggup melakukan maksiat, mengulangi semula kesilapan kami biarpun dulu kami pernah berjanji dan bertaubat bersama-sama.



Lebih membuatkan hati saya parah, perempuan dia kenali itu mempunyai wang berbanding saya yang tiada apa dalam hidup ini. Kata suami, saya ibarat sampah dan dia tidak perlukan saya lagi. Saya begitu kesal dengan apa yang berlaku. Apa yang harus saya lakukan dalam hidup.



Buat masa ini suami belum lafazkan talak tapi dia sering mengibaratkan saya sebagai kain buruk. Apa yang harus saya lakukan. Bantulah saya. Buntu kepala ini memikirkan masalah yang saya hadapi ini. Tolonglah saya!

0 comments :

Post a Comment

 
Top