Dipukul, ditendang bahkan dimaki hamun sudah menjadi mainan hidup saya sejak mendirikan rumah tangga lima tahun lalu. Boleh dikatakan saban hari, ada saja pergaduhan. Tetapi saya masih bersabar kerana berasa kasihan pada anak yang masih kecil.


Kata orang, membina rumah tangga adalah untuk meramaikan umat Nabi Muhammad s.a.w. Dikatakan juga, melalui alam perkahwinan, kita akan mengenali pasangan dan sudah pasti impian setiap pasangan, rumah tangga yang dibina kekal hingga ke akhir hayat.


Biarlah saya kongsi sedikit tentang suami. Suami saya kenal ketika kami bekerja di bangunan yang sama namun berlainan pejabat. Melalui kenalan, dia sering menyampaikan salam kepada saya. Memandangkan saya ketika itu tidak mempunyai kawan lelaki, salamnya saya sambut. Daripada luaran, dia nampak baik dan ada sifat sebagai lelaki pelindung. Tapi benarlah kata orang, jangan menilai daripada luaran kerana semuanya tidak sama dengan apa yang ada di dalam.


Kami mula berkenalan. Sebagai kerani dengan gaji tidak seberapa, pelawaan darinya untuk keluar makan saya sambut dengan hati terbuka. Dia juga nampak murah hati berbelanja dan membelikan saya hadiah. Mungkin kata orang untuk mengambil hati saya ketika itu. Jujurnya, dia boleh saya katakan sebagai cinta pertama saya. Ditambah lagi saya tidak biasa dengan soal-soal cinta ketika itu. Bagi saya mengenalinya adalah detik terindah dalam kehidupan saya. Sebab itulah bila dia mahu masuk meminang ketika perkenalan kami baru enam bulan, saya bersetuju sahaja. Bagi saya, tiada apa yang harus saya tunggu lagi kerana dia pelengkap kehidupan.


Benarlah kata orang, manis bila bercinta sahaja. Masuk bulan kedua perkahwinan, suami mula buat hal. Pantang silap sikit, dia naik tangan ke muka saya. Tapi setiap kali pergaduhan, dia akan meminta maaf. Katanya dia melakukan tanpa sedar.


Masuk bulan keempat perkahwinan, saya disahkan mengandung dan ia berita gembira bagi saya dan suami. Saya sangka bila mengandung sudah tentu tangannya tidak naik. Tapi saya silap kerana bila sudah panas baran, selamanya tidak akan berubah. Semasa mengandung lapan bulan, sekali lagi penamparnya naik ke muka dan saya terus trauma dengan perbuatannya itu.


Tidak hanya tangan naik, kali ini siap dengan kata nistanya. Katanya saya sering menyusahkan dengan pelbagai kerenah. Dia bosan dengan rumah tangga kami.


Kata-katanya saya telan dan simpan di dalam hati. Saya sudah tahu di mana nilai saya di matanya. Semasa perkahwinan masuk tahun kedua, kami bertengkar sekali lagi dan kali ini dia melafazkan taklik. Seandainya saya keluar rumah membawa pakaian atas niat ingin lari darinya dan membawa keluar anak kami, akan jatuh talak ke atas saya. Akibat tidak tahan dipukul ketika itu, saya keluar rumah dan pulang ke kampung. Namun beberapa hari kemudian, suami datang ke kampung dan meminta maaf di atas perbuatannya. Saya telah melaporkan hal ini ke pejabat agama kerana saya yakin lafaznya sah tetapi kes kami tergantung begitu sahaja kerana kesibukan kerja.


Bahagia yang saya harapkan daripada suami nyata tidak menampakkan sinar. Bila sudah terlalu biasa dipukul ditambah dengan kata nistanya, jiwa saya menjadi kental dan sudah berani melawan pula.
Akibatnya, sekali lagi kami bergaduh dan kali ini dengan terang-terangan, suami melafazkan talak ke atas saya. Namun beberapa hari kemudian, sekali lagi dia datang dan meminta maaf di atas setiap perbuatannya. Katanya dia bersalah dan berharap saya dapat memaafkan dirinya yang panas baran. Dia mengatakan masih mencintai saya dan menyayangi anak. Dia berharap saya dapat menerimanya kembali.


Bagaimana status perkahwinan saya? Adakah saya patut menerimanya kembali. Sudah tidak terkira berapa kali tangannya hinggap ke muka saya. Kawan-kawan sepejabat juga sudah tahu dan saya sendiri malu. Keluarga enggan masuk campur hal ini. Apa yang harus saya lakukan? Bantulah saya!

0 comments :

Post a Comment

 
Top