“Saya perlukan suami yang mampu mendidik saya, membimbing saya ke jalan agama. Tapi suami saya tak solat, tak puasa. Bila saya ajak solat, dia buat tak tau saja. Sakit hati, saya pun tak solat, biar dia tanggung juga dosa saya.”

Mungkin anda mempunyai persepsi yang tersendiri dengan pengakuan klien yang saya kongsikan kali ini. Saya yakin, ramai yang akan memberi respon menyalahkan si suami malah tak kurang juga yang menjadikan kegagalan suami tersebut sebagai satu alasan untuk keluar daripada perkahwinan. Rata-rata berpegang dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.” – surah al-Nisa’ayat 34.

Saya akui, ayat ini menjadi panduan untuk mempercayai bahawa suami adalah orang yang selayaknya menjadi ketua keluarga. Biarpun penghujung ayat ini dijelaskan mengenai sebab lelaki dijadikan pemimpin iaitu kerana mereka wajib memberikan nafkah kepada kaum wanita; hakikatnya ayat ini juga bermaksud; kaum lelaki iaitu bapa atau suami bertanggungjawab dalam membentuk akhlak dan budi pekerti isteri dan anak-anak agar menepati kehendak dan saranan syarak. Peranan ini menjadi perkara asas dalam kehidupan berkeluarga. Namun, tidak semua isteri ditakdirkan mempunyai suami yang mampu untuk mendidik isteri dan anak-anak. Malah, ada tikanya si suami tak mampu mendidik dirinya sendiri.

Jangan salahkan diri sendiri kerana memilih jodoh sedemikian. Percayalah! Ada sebabnya anda ditemukan jodoh dengan suami sebegitu dan pastinya ada hikmah besar juga yang menanti. Perlu difahami juga; bukan hanya kaum lelaki sebagai ayah dan suami yang memikul tanggungjawab mendidik ahli keluarga ke jalan yang diredhai-Nya.



Sebenarnya, setiap individu termasuklah isteri dan ibu; bertanggungjawab mempastikan setiap ahli keluarganya berada di landasan yang betul, sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka....” – surah al-Tahrim ayat 6. Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu (serta umatmu) mengerjakan solat dan engkau hendaklah tetap bersabar menunaikannya....” - surah Toha: 132.

Kedua-dua ayat ini meletakkan arahan umum kepada semua merangkumi suami, isteri, ibu, ayah malah si anak. Kenapa? Ketahuilah! Kita semua dilahirkan sebagai hamba Allah! Tugas dan peranan penting sebagai hamba Allah ialah melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar atau menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan keburukan.



Jelas sekali, mendidik bukan hanya peranan suami tetapi juga peranan isteri terutama sekali apabila suami gagal melaksanakan peranan tersebut. Kalau dah tahu suami tak mampu mendidik tetapi masih nak bergantung harap kepada suami, samalah seperti memanjat pokok yang tinggi kemudian terjun ke bawah.

Jika berdepan dengan situasi seperti ini, anda perlu memainkan peranan. Jika anda mampu untuk mendidik suami, didiklah. Bagaimana nak mendidik suami? Suami kan terkenal dengan ego dan payah untuk ditegur apatah lagi nak diajar? Ingat! Air dapat melekukkan batu dengan syarat, titisan kecil dilakukan berulang kali. Berusahalah dengan berhikmah dan jangan putus asa. Mulakan dengan ajakan untuk lakukan amalan agama bersama-sama seperti solat berjemaah, mengaji bersama malah boleh mengajak suami temani anda ke kelas agama. Kesilapan suami pula ditegur dengan lembut. Jangan gunakan kekerasan. Ego suami akan tambah tercalar dan jadi lebih hangat bila suami rasakan dirinya cuba diajar. Sebaliknya usahakan untuk kekal berlembut dengan suami kerana hanya kelembutan dapat mengalahkan kekerasan.

Dalam masa yang sama, panjatkan doa tanpa putus kepada Allah. Mohon agar Allah lembutkan hati suami dan bantu anda untuk mendidik suami menjadi hamba-Nya yang diredhai. Ingatlah!! Sebagai makluk dan hamba-Nya, kita hanya mampu untuk berusaha, selebihnya terutama dalam perkara berkaitan hidayah adalah di tangan-Nya. Dia yang berkehendak untuk menentukan hamba-Nya yang mana akan menerima hidayah untuk taat beribadah kepada-Nya. Yang penting, selagi suami masih menjalankan tanggungjawabnya yang patut sebagai suami; memberi nafkah zahr dan batin serta melayan puan dengan baik, anda perlu terus berusaha mengajak secara berhikmah dan berdoa untuk suami juga anak-anak.

0 comments :

Post a Comment

 
Top