Gambar Hiasan

Saya selalu rasa iri hati dengan jiran-jiran yang memiliki kehidupan lebih baik dan mewah berbanding saya dan suami. Suami saya bukanlah orang besar di mana-mana syarikat gah.

Dia juga bukan pegawai tapi sekadar pekerja bawahan di syarikat milik kerajaan. Gajinya? Hanya cukup-cukup makan kami sekeluarga. Apabila bilangan ahli keluarga bertambah, saya terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan rumah tangga termasuklah duit bil dan dapur.

Terus-terang, apabila kami dihimpit masalah kewangan, saya mula rasa tidak suka kepada suami. Kesilapan lalunya mula terbias di ingatan saya sehingga saya fikirkan yang bukan-bukan terhadap masa depan kami. Maksud saya, rasa nak tuntut cerai.

Awal perkahwinan, suami tidak pernah berterus-terang tentang jawatan sebenarnya. Saya juga tidak tahu yang suami jenis cepat mengalah dalam setiap tindakan dan percubaannya. Saya ambil contoh masa kami cuba-cuba berniaga secara kecil-kecilan menjual nasi lemak di tepi jalan. Kalau ikutkan hati, memanglah saya penat.

Tapi saya perlu fikir jalan untuk cari duit lebih. Balik kerja sebelah petang saya akan beli barang-barang keperluan memasak nasi lemak. Malamnya saya masak dahulu sambal dan esok seawal jam 4 pagi saya bangun untuk tanak nasi dan mula membungkus.

Tugas suami hanya hantar saya menjual di tepi jalan sebelum dia pergi kerja. Saya yang akan menjual kerana kerana waktu kerja saya lewat sedikit. Kadangkala jualan memberangsangkan.

Dalam tempoh dua jam sebanyak 30 ke 50 bungkus terjual. Kadangkala, nak jual dua hingga lima bungkus pun tak lepas. Saya sedih tapi saya tetap berniaga. Malangnya suami akan mula putus asa dan sudah tidak mahu membantu. Alasannya kerja tak ada untung.

Disebabkan itu, saya berhenti jual nasi lemak dan cuba berniaga cara lain pula. Ambil tempahan kuih dari rakan-rakan pejabat dan macam-macam lagi. Saya sedih sebab merasakan hanya saya seorang berusaha untuk memperbaiki kedudukan kewangan kami. Tapi sikap suami seolah-olah lepas tangan.

Saya tahu dia sedar yang gajinya tidak pernah cukup untuk saya dan anak tapi dia tidak pernah mencuba untuk buat sesuatu. Kalau saya terlewat balik kerja, dia mula masam muka dan tak mahu bercakap dengan saya seperti saya melakukan kesilapan besar. Saya penat dan amat tertekan. Apa yang perlu saya buat doktor? - Rohana, Kuala Lumpur.

 

0 comments :

Post a Comment

 
Top